KUALA LUMPUR: Cadangan menjadikan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) perlu dibawa ke peringkat Kabinet atau dibahaskan di Parlimen.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tetap merasakan cadangan itu tidak perlu.
“UMNO semalam sudah mengeluarkan pendirian kami terhadap cadangan yang dibuat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
“Ia bukanlah sesuatu yang mudah dan ia perlu perundingan Kabinet dan jika perlu ia perlu dibawa ke peringkat Parlimen untuk dibahaskan
“Oleh demikian, UMNO merasakan tidak ada keperluan untuk mewujudkan Kampung Baru Cina sebagai satu tapak UNESCO,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA, di Wisma MCA, di sini hari ini.
Beliau juga berkata perbezaan pandangan antara UMNO dan DAP dalam isu itu tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Pendirian oleh UMNO semalam, saya kira ia tidak akan menjejaskan hubungan, kerana kita memberikan pendirian itu sebagai rakan dalam parti (kerajaan).
“Kita mesti saling menghormati pandangan rakan-rakan dalam parti,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu menolak keras
cadangan Kor Ming itu yang dilihat terlalu besar dan boleh menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung, meskipun bertujuan untuk memperkasakan sektor pelancongan negara.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata setiap cadangan yang mahu dilaksanakan kerajaan perlu mengambil kira pandangan masyarakat majmuk di negara ini.
Beliau bagaimanapun berkata, MCA mengambil sikap berkecuali dalam isu itu memandangkan mereka tidak berada di peringkat kerajaan ketika ini.
BHonline-