CHERAS: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil tindakan segera berkenaan kewujudan produk penyedut hidung atau turut dikenali sebagai ‘Energy’ Stick’ yang kini giat dijual dan dipromosikan menerusi sosial media kononnya dapat memberi tenaga dan kesegaran kepada penggunanya.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata beliau mengakui sudah menerima aduan dan amaran berhubung produk berkenaan.
“Saya sudah awal menerima ‘alert’ ini. Langsung saya beritahu kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan akan aduan yang saya terima daripada sosial media.
“Kita (KKM) akan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Bandar Tun Razak di sini, hari ini.
Sebelum ini, Public Health Malaysia (PHM) menerusi Facebook menyiarkan maklumat kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan produk dikenali sebagai ‘Energy Stick’.
PHM memaklumkan, produk jolok hidung dan sedut itu adalah terkini di pasaran dan mula popular di kalangan pelajar sekolah yang dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 sehingga RM10 sahaja.
“Produk penyedut hidung ini dipromosikan sebagai produk untuk memberi tenaga dan untuk memberi kesegaran kepada pengguna. Ada penjual menggunakan ‘tagline’ ‘Sedut dahulu, baru pergi sekolah’ dan ‘Sedut dulu baru mulakan kerja’.
“Ia bersaiz kecil, hanya sebesar pemetik api, berwarna warni dan didatangkan dengan pelbagai perisa menarik,” katanya.
PHM memaklumkan, produk itu mempunyai dua corong yang muat ke lubang hidung dan boleh disedut melalui hidung terus ke paru-paru.
Katanya, jika diperhatikan, pengambilan produk itu sama seperti pengambilan dadah melalui hidung ‘snorting’ dan secara psikologinya adalah sangat negatif kerana menggalakkan pengguna untuk mencuba bahan lain termasuk dadah.
“Berkaitan segi perubatan, pengambilan bahan kimia melalui hidung menyebabkan kerosakan mukus di dalam rongga hidung, luka, pendarahan dan jangkitan.
“Alahan dan keracunan juga boleh berlaku kerana bahan yang digunakan tidak diketahui. Bertambah lagi beban ibu bapa dan guru untuk memantau anak dari penggunaan barang ini,” katanya.
Justeru, PHM meminta supaya penjualan dan pembelian produk itu dihentikan segera.
BHonline-