Kuala Lumpur : Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memohon rakyat Malaysia mendoakan keselamatan keluarganya yang kini berlindung di Rafah, selatan Gaza, Palestin.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Muhammad Nadir berkata, dia gusar selepas tempat isteri dan anaknya berlindung di Rafah, kini menjadi sasaran pencerobohan tentera rejim Zionis.
Katanya, sejak pengeboman dahsyat di Rafah semalam, dia sentiasa memantau masa terakhir WhatsApp anak dan isterinya aktif.
“Kadang-kadang kita pantaukan bila orang rumah kita last online (kali terakhir dalam talian), anak-anak kita last seen (terakhir dilihat) bila pada waktu malam.
“Nak tengok kenapa blue tick (tanda biru) atau anak dah tutup lampu bilik untuk tidur tapi masih online (dalam talian) ke (kah).
“Semalam berlaku pengeboman yang sangat dahsyat di Rafah tempat keluarga berlindung. Macam-macam benda saya mimpi,” katanya berkongsi perkembangan itu bersama 334,000 pengikut Instagram miliknya, hari ini.
Katanya, hatinya sedikit lega apabila mengetahui keluarganya masih hidup dengan kemas kini masa terakhir mereka masih aktif di WhatsApp pada 12.21 tengah hari tadi.
“Pagi ini, walaupun WhatsApp baru satu tick (tanda) tetapi at least (sekurang-kurangnya) nampak last seen (terakhir dilihat) dilihat itu baru tadi, lega sikit.
“Harapan besar mereka masih bernyawa. Besarnya hadiah melihat WhatsApp mereka masih menyala,” katanya.
Dia berharap diberi kekuatan dengan ujian itu serta supaya anak dan isterinya selamat dari sebarang malapetaka.
“Doakan kalau penjajah masuk melalui jalan darat, saya tak kehilangan semuanya.
“Ya Allah, jangan uji kami dengan apa yang tak mampu kami hadapi,” katanya.
Muhammad Nadir terpisah dengan keluarganya sejak pulang ke Malaysia atas beberapa urusan sebelum konflik perang meletus 7 Oktober tahun lalu.
Isterinya, Reem Al-Minawi bersama tujuh anak mereka sebelum ini dilaporkan berjaya melarikan diri dan berlindung di sebuah kawasan di Rafah selepas kediaman mereka dibom Israel.
Kini, koridor selamat digelar rejim Zionis itu menjadi sasaran terbaharu selepas menerima arahan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang berikrar menyelesaikan misi kononnya menghapuskan kumpulan Hamas di Rafah dalam tempoh sebulan sebelum umat Islam menyambut Ramadan.
Dilaporkan, kira-kira 1.4 juta penduduk Gaza sedang berlindung di Rafah sempadan Mesir selepas dipaksa berpindah dari kediaman masing-masing sehingga menyaksikan wilayah itu kini padat serta serba kekurangan.
-Harian Metro