GURUN: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga anggota tentera dalam kemalangan dekat sini, dua minggu lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Muhammad Huzaifah Azhari, 31, didakwa di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 jika sabit kesalahan.
Dia hadir ke mahkamah dengan berkopiah putih dan bertongkat.
Lelaki berasal dari Alor Setar itu dituduh memandu lori dalam keadaan berbahaya di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara daerah Kuala Muda sehingga menyebabkan kematian Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30; Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, dan Koperal Mohd Asri Idris, 40.
Muhammad Huzaifah yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK), Ummi Kalthum Zakaria, didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira jam 10.30 pagi, 2 Februari lalu, tetapi mengaku tidak bersalah.
Sehubungan tu, Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Azmi mencadangkan jaminan RM30,000, namun Ummi Kalthum merayu jaminan minimum dengan alasan anak guamnya menanggung seorang isteri serta dua anak masih kecil.
Anis Suraya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandunya digantung sebelum menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula.
Nahas pada 2 Februari lalu membabitkan empat kenderaan, iaitu tiga lori tentera dan sebuah lori Isuzu sebelum konvoi kenderaan tentera berhenti di laluan kecemasan lebuh raya selepas satu daripada lori mengalami kerosakan.
Tiga tentera maut ialah anggota Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak, yang dalam konvoi tiga trak menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder di Kangar Perlis untuk mengambil anggota menyertai Eksesais Satria Gagah.
BHonline-