KUALA LUMPUR : Negara membangun boleh menjadi penyumbang utama kepada perdagangan global dan meningkatkan ekonomi sendiri sekiranya memperkukuhkan sektor logistik serta infrastruktur rantaian bekalan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah ini dapat dicapai sekiranya negara-negara membangun memberikan penekanan kepada bidang teknologi, memperkemas prosedur kastam dan budaya amalan mampan.
Selain itu, katanya, penekanan kepada tenaga kerja mahir dan mempromosikan inovasi juga menjadi antara faktor untuk memperkukuhkan sektor logistik dan memastikan rantaian bekalan tidak terjejas.
“ASEAN telah memberikan inspirasi kepada kita dengan model yang berharga untuk kerjasama serantau, memupuk daya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi.
“ASEAN telah mewujudkan persekitaran untuk rantaian bekalan yang teguh dan mampan dengan menekankan integrasi ekonomi dan kemudahan perdagangan.
“Inisiatif seperti ASEAN Single Window menyelaraskan prosedur kastam dan menggalakkan penggunaan teknologi mampan di seluruh negara anggota,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Antarabangsa Logistik dan Rantaian Bekalan (ISLSC) di Universiti Teknologi Rajamangala (RMUTT) di Bangkok, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi RMUTT, Veerasak Wongsombut.
Simposium yang dianjurkan oleh The Chartered Institute of Logistics and Transport itu dihadiri oleh ahli akademik dari Thailand, Malaysia, Indonesia dan beberapa negara lain.
Ismail Sabri Yaakob berkata, perjalanan ke arah pengurusan logistik dan rantaian bekalan yang mampan adalah tanggungjawab bersama.
“Ia memerlukan komitmen untuk berubah, keterbukaan terhadap inovasi, dan dedikasi untuk meninggalkan legasi positif untuk generasi akan datang.
“Simposium ini juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia untuk memastikan potensi sektor-sektor ini terus berkembang,” katanya.
Dalam pada itu, selepas majlis berkenaan, beliau turut melancarkan Kursi Dato’ Sri Ismail Sabri yang kedua di institut pengajian awam pertama di Thailand.
RMUTT akan memfokuskan kepada penghasilan kamus bahasa Melayu dan Thai.
-Berita Harian