SHAH ALAM : Kerja-kerja meroboh Stadium Shah Alam dijangka akan selesai pada pertengahan tahun hadapan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, satu langkah kritikal diambil dalam pembangunan Stadium Shah Alam apabila beliau menyaksikan perjanjian persefahaman antara Menteri Besar Selangor (Pemerdananan) MBI Selangor dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), petang tadi.
“Perjanjian persefahaman ini sekali gus menandakan permulaan kerja-kerja fizikal setelah melalui proses perancangan dan prosedur rapi.
“Proses perobohan akan dimulakan dengan pemasangan dinding penghadang diikuti proses merungkai struktur sedia ada yang dijangka mengambil tempoh sehingga pertengahan tahun hadapan.
“Saya menekankan kepada pihak terbabit bahawa pembangunan Stadium Shah Alam harus menepati segala piawaian ditetapkan oleh kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta menjadi model yang menggunapakai kaedah terbaik (best practices) dalam pembangunan infrastruktur terutamanya dalam skala sebegini.
“Segala langkah mitigasi untuk menangani impak pembangunan akan dimaklumkan oleh pihak pemaju kepada komuniti tempatan agar proses ini berjalan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Amirudin mengesahkan proses merobohkan Stadium Shah Alam bagi pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu tidak akan menggunakan peledak atau bom, sebaliknya secara manual.
Jelas beliau, kerja perobohan itu akan dilaksanakan selepas selesai pengalihan sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Projek pembangunan semula KSSA yang membabitkan kawasan seluas 76.08 hektar itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2026.
-Berita Harian