KUALA LUMPUR: Khayal akibat pengambilan dadah, menyebabkan sepasang suami isteri nyaris hampir menyebabkan kematian bayi lelaki mereka selepas tersalah membancuh susu dengan cecair syabu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Kejadian berlaku di kediaman pasangan terbabit di sebuah flat dekat Taman Medan, Petaling Jaya di sini, pada 19 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail, berkata polis menerima maklumat kejadian selepas menerima aduan daripada pihak Hospital Kajang pada 20 Februari lalu.
Beliau berkata, kejadian menimpa bayi lelaki berusia 16 bulan itu disedari nenek bayi berkenaan yang menjaganya pada hari kejadian.
“Difahamkan, pasangan suami isteri terbabit menghantar bayi mereka untuk dijaga neneknya yang tinggal di Seri Kembangan dan ketika dalam jagaan wanita berusia 55 tahun itu, bayi itu tidak berhenti menangis.
“Bayi itu juga menjadi terlalu aktif dan sukar dikawal, menyebabkan wanita itu bertanya kepada ibu bayi berkenaan punca cucunya itu berkelakuan pelik.
“Ibu bayi itu kemudian mengaku tersilap membancuh susu bayi berkenaan menggunakan air syabu milik suaminya,” katanya kepada BH, hari ini.
Susulan itu, Shahrulnizam berkata, pihaknya menahan suami isteri terbabit, masing-masing berusia 34 dan 40 tahun di kediaman mereka pada 20 Februari lalu untuk membantu siasatan.
“Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek menunjukkan mereka positif dadah.
“Semakan mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai penjual air balang mempunyai rekod berkaitan kes dadah,” katanya.
Dalam pada itu, katanya bayi malang terbabit kini berada dalam pemantauan pihak Hospital Kajang dan keadaannya dilaporkan stabil.
Shahrulnizam berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.
BHonline-