KUALA LUMPUR : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan Malaysia akan dijadikan destinasi pelancongan tanpa visa oleh Israel seperti hantaran di media sosial, menyifatkan tuduhan itu untuk mencipta naratif jahat dan fitnah ke atas beliau dan kerajaan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
“Saya menganggap tujuan posting ini dinaikkan semula adalah bertujuan mencipta naratif jahat dan fitnah ke atas saya dan kerajaan Malaysia,” katanya melalui hantaran di platform X, hari ini.
Beliau merujuk satu hantaran di laman X dengan tajuk Israel bakal jadikan Malaysia destinasi pengecualian visa?.
Ia turut menyertakan tangkap layar akaun X Ahli Parlimen Israel, Danny Danon pada September lalu yang menyiarkan gambar Saifuddin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Hantaran itu disertakan catatan sinis Danon, beliau ‘gembira’ melihat Saifuddin mendengar ucapan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan mungkin bermakna destinasi pelancongan tanpa visa seterusnya bagi warga Israel adalah Malaysia.
Menurut Saifuddin, kehadiran beliau di New York pada September tahun lalu sebagai delegasi negara untuk ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada UNGA ke-78.
“Kehadiran saya seperti dalam gambar adalah atas kapasiti saya sebagai delegasi dan mendengar ucapan YAB Perdana Menteri di UNGA,” katanya.
Saifuddin berkata, Perdana Menteri dalam ucapannya pada perhimpunan negara-negara seluruh dunia itu, jelas mengkritik sekeras-kerasnya tindakan Israel di hadapan semua delegasi yang hadir.
Untuk rekod, Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, manakala pasport negara kita tidak boleh digunakan untuk perjalanan ke Israel kecuali dalam kes tertentu.
-Berita Harian