KOTA KINABALU – Peningkatan kadar pembiakan ubur-ubur disebabkan peningkatan suhu di perairan punca kehadiran hamparan haiwan laut itu di sepanjang pesisir pantai Kampung Jangkit, Kuala Penyu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ubur-ubur jenis ‘tomato jellyfish’ atau nama saintifiknya Lobonemoides Robustus dilihat terdampar di sepanjang kira-kira tiga kilometer di persisir pantai tersebut tular di media sosial sejak Rabu.
Pengarah Perikanan Sabah, Azhar Kassim berkata, pihaknya menghantar anggota dari pejabat Kuala penyu ke lokasi kejadian untuk memantau dan menyiasat damparan ubur-ubur yang dilihat begitu luar biasa dan padat.
“Menurut penduduk, ia kali pertama kali berlaku di mana hamparan ubur-ubur yang begitu banyak.
“Jabatan Perikanan mengenal pasti jenis ubur-ubur dan penelitian mendapati kepadatan populasi itu luar biasa berlaku kerana meningkatnya kadar pembiakan haiwan berkenaan oleh peningkatan suhu perairan laut.
“Ia juga berkait rapat dengan kewujudan sumber makanan seperti zooplankton, crustacea kecil, anak ikan dan sebagainya di laut selain turut dipengaruhi oleh faktor air pasang dan surut yang mendadak menyebabkan ubur-ubur secara mendadak terperangkap dan terdampar di pantai,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun, Azhar berkata, ubur-ubur tersebut bukan jenis yang berbisa atau berbahaya namun boleh memberi kesan gatal pada badan apabila tersentuh dengan kulit.
“Orang awam dinasihatkan tidak terlalu risau kerana ubur-ubur jenis rapuh iaitu mudah mati dan hancur. Namun ia hanya akan mengakibatkan bau yang tidak selesa dan akan hilang dalam tempoh satu atau dua hari.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk elak mandi laut di kawasan perairan terdapatnya populasi ubur-ubur tersebut,” katanya.
SinarHarian-