KUALA LUMPUR: “Pakaian sekolahnya tak seperti pakaian sekolah yang normal. Dia memakai seluar ‘baggy’ dan baju selalunya tak ‘tuck in’ (dimasukkan ke dalam). Sebagai ketua pengawas, saya selalu tegur untuk membetulkan cara pemakaiannya.”
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ini yang dikongsi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengenai penyanyi rap popular, Joe Flizzow ketika mereka bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama, Selangor.
Menerusi klip yang tular di TikTok, Hannah berkongsi pengalamannya ketika menjayakan dokumentari istimewa berjudul This Is Johan yang kini ditayangkan di platform penstriman Viu.
Dalam rakaman itu, Hannah yang juga ketua pengawas sekolah pada 1995 hingga 1996 menceritakan perwatakan Joe di sekolah berkenaan.
Hannah berkata, Joe memiliki gaya fesyen luar biasa dan selalu mendapat teguran daripadanya selaku ketua pengawas.
Dalam video yang sama, Joe membalas kenyataan Ahli Parlimen Segambut itu dengan berkata, sikap nakal tidak salah, asalkan tidak melakukan perkara jahat.
“Nakal lebih elok berbanding jahat. Nakal tak apa. Degil tak apa, jangan jahat je,” katanya.
Dokumentari This Is Johan menceritakan titik peluh, kejayaan, kejatuhan dan semangat Joe yang masih memberi inspirasi kepada peminat tempatan serta pengikut hip hop dan rap hingga kini.
BHonline-