Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret Kuantan memutuskan bahawa kecuaian pemilik meninggalkan kenderaan di tepi jalan tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kecurian, tidak akan mendapat tuntutan insurans seperti mana terikat dalam polisi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Majistret Nor Izzati Zakaria memutuskan demikian, selepas menolak tuntutan saman difailkan ahli perniagaan Mohd Shah Rizal Mahmud, 37, selaku plaintif, ke atas RHB Insurance Berhad sebagai defendan.
Mohd Shah Rizal menuntut RM85,000 daripada syarikat insurans berkenaan, selepas traktor miliknya dicuri selepas ditinggalkan selama dua hari di bahu jalan Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, kerana kenderaan itu mengalami kerosakan.
Dalam penghakimannya pada 13 Mac, Nor Izzati memutuskan bahawa tindakan plaintif meninggalkan kenderaan tersebut selama dua hari tanpa pengawasan adalah tindakan yang cuai, memandangkan ia ditinggalkan di tepi jalan tanpa pengawasan olehnya.
Beliau berkata tindakan itu diterjemahkan sebagai mengundang bahaya, kerana boleh menyebabkan kenderaan tersebut dicuri dan tindakan plaintif meninggalkan dan membiarkan traktor itu tanpa pengawasan, menyebabkan kenderaan berkenaan hilang serta tidak dapat dicari oleh pegawai penyiasat polis.
“Mahkamah juga bersetuju dengan defendan bahawa plaintif secara cuai meninggalkan dan membiarkan kenderaan tersebut tanpa pengawasan dengan apa-apa alasan sekali pun, kerana plaintif sepatutnya terikat dengan segala syarat dan terma terkandung dalam polisi insurans dibelinya.
“Sehubungan itu, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan, maka tuntutan plaintif ditolak dengan kos RM1,500 perlu dibayar kepada defendan,” katanya.
Mohd Shah Rizal membeli perlindungan insurans bagi kenderaan itu daripada defendan bagi kemalangan jalan raya termasuk perlindungan untuk kecurian bagi tempoh 5 Januari 2021 sehingga 4 Januari 2022.
Pada 24 November 2021, Mohd Shah Rizal meletakkan kenderaan berkenaan di bahu jalan kerana rosak dan dia menyedari kenderaannya dicuri selepas pergi ke tempat berkenaan pada 26 November 2021. Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada hari sama.
Plaintif kemudian membuat tuntutan untuk kehilangan kenderaan terbabit akibat kecurian tetapi defendan menolak tuntutan itu tanpa alasan kukuh atau munasabah.
Plaintif mendakwa defendan sebagai penanggung insurans kenderaan itu adalah bertanggungjawab untuk membayar sejumlah RM85,000 yang diinsuranskan akibat kecurian kenderaan itu.
HarianMetro-