KUALA LUMPUR : Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menyeru kerajaan mengambil tindakan segera dalam menangani isu kenaikan harga bahan binaan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Presidennya, Datuk Seri Dr Mohamed Fadzill Hassan, berkata kenaikan harga bahan binaan seperti besi, simen dan konkrit secara mendadak sejak kebelakangan ini tidak dapat dielakkan dan ia sangat menekan kontraktor Bumiputera seluruh negara.
Beliau berkata, keadaan itu sekali gus menjejaskan projek sedia ada dan kontraktor tidak mampu menanggung kerugian besar disebabkan kenaikan harga bahan binaan.
“Kenaikan harga bahan binaan akan menyebabkan kontraktor Bumiputera mengalami kesulitan untuk meneruskan kerja sedia ada.
“Kontraktor terpaksa menanggung kenaikan kos pembinaan projek yang sedang dilaksanakan dan berkemungkinan projek akan terbengkalai memandangkan harga projek tidak lagi relevan dengan harga bahan binaan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Fadzill berkata, pihaknya bersetuju dengan kenyataan Persatuan Pemaju Hartanah Malaysia (REHDA) yang mengatakan kenaikan harga bahan binaan dijangka akan mencapai sehingga 15 peratus selepas perayaan Aidilfitri.
Justeru, katanya, PKMM berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah itu bagi melicinkan pelaksanaan projek yang sudahpun dirancang oleh pihak kerajaan.
“Disebabkan kenaikan harga besi, simen, konkrit dan harga buruh, kontraktor Kelas G1 tidak dapat melaksanakan projek Rumah Mampu Milik yang berharga RM65,000 (sebelumnya) kerana anggaran kini adalah RM85,000.
“Jadual kadar kerja pula perlulah disemak sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk memastikan kadar harga yang dikeluarkan bersesuaian dengan kadar harga semasa di pasaran,” katanya.
-Malaysia Kini