KUALA LUMPUR : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menubuhkan wakaf pendidikan sebagai salah satu inisiatif pihaknya untuk mempelbagaikan sumber dana, seterusnya membantu lebih ramai individu untuk membiayai pendidikan tinggi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPPā¦..
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata menerusi wakaf berkenaan, pelbagai pihak sama ada dari dalam atau luar negara boleh menyumbang dan memberi manfaat kepada kelangsungan pembangunan pendidikan masyarakat.
Katanya, dalam tempoh 27 tahun usia PTPTN, agensi itu sedaya upaya membantu dan memastikan tiada pelajar yang tercicir untuk meneruskan pendidikan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
“Buktinya, sehingga 31 Disember lalu, PTPTN sudah membantu seramai 3.95 juta orang pelajar membabitkan dana pinjaman yang dikeluarkan berjumlah RM71.32 bilion.
“Jadi besar harapan saya supaya inisiatif untuk menubuhkan wakaf pendidikan ini mendapat sokongan padu masyarakat. Saya yakin wakaf pendidikan ini akan dapat meningkatkan motivasi mahasiswa untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus menjana kepada pembangunan modal insan negara.
“Paling penting, usaha ini juga dapat mengurangkan kebergantungan PTPTN kepada kerajaan sebagai sumber dana pembiayaan dalam jangka masa panjang.
“Justeru, bagi pihak PTPTN, saya berharap apabila wakaf pendidikan ini dilancarkan, inisiatif ini akan mendapat sambutan menggalakkan daripada syarikat korporat, institusi kewangan, agensi kerajaan dan swasta serta pelanggan dalam melaksanakan amal kebajikan melalui wakaf pendidikan,” katanya dalam ucapan sempena Wacana Ilmiah Wakaf Pendidikan 2024 di sini.
Norliza berkata, penubuhan pelaksanaan itu sangat murni serta memberi peluang kejayaan kepada pelajar selari dengan moto PTPTN ‘Peluang Kejayaan Anda’.
Sementara itu, Norliza memaklumkan inisiatif penubuhan wakaf itu juga mendapat kerjasama serta turut memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
“Kedua-dua pihak bersetuju menjalankan Kerjasama Wakaf Tunai Pendidikan PTPTN-YWM dengan merangkumi skop dan objektif dalam menubuhkan dana wakaf sebagai salah satu inisiatif bagi mempelbagaikan sumber dana untuk pembiayaan pendidikan tinggi selain menerusi pemberian pinjaman pendidikan PTPTN sedia ada.
“Kedua, penubuhan ini menjadikan dana wakaf sebagai instrumen pengagihan semula kekayaan bagi pembangunan pendidikan negara dalam kalangan mahasiswa melalui alternatif bantuan pendidikan berbentuk biasiswa iaitu Wakaf Tunai PTPTN serta mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman pendidikan, seterusnya mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman atau keberhutangan oleh mahasiswa.
“Melalui kerjasama ini, wakaf tunai yang terkumpul akan dikembangkan melalui pelaburan patuh syariah dan sebahagian dana tersebut akan diagihkan sebagai bantuan pendidikan berbentuk biasiswa kepada mahasiswa,” katanya.
Norliza berkata, apa yang dilakukan PTPTN ini juga selari dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Wakaf Kesihatan dan Pendidikan Bumiputera.
Zahid dalam ucapannya ketika Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (Transformasi Ekonomi Bumiputera), berkata wakaf itu akan menjamin perkhidmatan kesihatan dan pendidikan Bumiputera.
Katanya, ikhtiar itu juga sebagai usaha untuk mendepani isu kenaikan kos perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada golongan asnaf, warga emas dan kumpulan sasar.
“Marilah kita mengambil tanggungjawab bersama dalam membantu dan menyumbang dalam menyediakan sumber tambahan melalui amalan berwakaf serta menjalankan program pembangunan pendidikan, kesihatan mahupun kebajikan,” katanya dalam ucapan itu.
UNTUK – QUOTATION
“Saya berharap apabila dilancarkan, inisiatif ini mendapat sambutan daripada syarikat korporat, institusi kewangan, agensi kerajaan dan swasta serta pelanggan untuk melaksanakan amal kebajikan melalui wakaf pendidikan”
-Berita Harian