PUTRAJAYA : Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap tiada halangan dan rintangan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk segera meluluskan cadangan pindaan perlembagaan parti itu yang dibuat baru-baru ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Beliau berkata, cadangan pindaan perlembagaan yang dibuat itu adalah teratur dari segi teknikal dan ia adalah kehendak parti yang diputuskan dalam perhimpunan agungnya.
“Dalam pertemuan tadi, ada pegawai (ROS) yang bersama, kalau dari segi teknikalnya, adalah teratur kerana ini adalah kehendak dan keputusan parti yang dibuat dalam perhimpunan agung dengan jumlah kehadiran melebihi daripada jumlah mesyuarat ditetapkan dan semuanya berjalan dengan baik.
“Itu sudah kita sempurnakan mengikut tatacara dan peraturan dikehendaki ROS dan saya diberitahu (cadangan pindaan) sudah mengikut peraturan ditetapkan dan saya memohon supaya ROS beri pertimbangan sebaiknya dalam tempoh segera,” katanya ditemui selepas menyerahkan cadangan pindaan perlembagaan parti itu kepada ROS hari ini.
Dokumen cadangan pindaan antaranya sebagai cara membendung wakil rakyatnya daripada memberi sokongan kepada lawan itu diserahkan kepada Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad.
Yang turut jadi, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Muhyiddin berkata, Setiausaha Kerja parti itu sedia memberikan maklumat tambahan jika diperlukan ROS untuk membuat pertimbangan dan meluluskan cadangan pindaan perlembagaan terbabit.
“Tadi kita sudah menjelaskan satu persatu kepada Ketua Pengarah ROS dan Alhamdulillah, semuanya teratur.
“Sebab itu kami berharap apabila sudah diserahkan kepada ROS hari ini, mereka akan beri pertimbangan positif dalam tempoh seberapa segera,” katanya.
Pada 2 Mac lalu, BERSATU meminda perlembagaan parti itu sebagai cara membendung wakil rakyatnya daripada memberi sokongan kepada lawan.
Keputusan dibuat dalam EGM selepas perwakilan BERSATU yang hadir sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 perlembagaan parti.
Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.
Fasal 10.4 memperuntukkan mana-mana ahli BERSATU yang juga wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 10.5 disifatkan terhenti keahliannya daripada parti itu secara serta-merta.
Perkara 10.5 pula menyatakan Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau DUN atau Dewan Negeri dan ia hendaklah dibuat secara bertulis.
Perkara 10.6 merujuk kepada Fasal 10.4 iaitu Setiausaha Agung, atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi, hendaklah mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau terhenti secara serta-merta dan namanya dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti.
Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Khamis lalu, seorang ADUN parti itu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
-Berita Harian