Sungai Petani: Dua lelaki ditahan polis untuk membantu siasatan kerana disyaki membakar mercun di tempat terbuka yang boleh membahayakan nyawa di Dataran Zero, Jalan Badlishah, di sini awal pagi hari ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, dua lelaki yang ditahan itu masing-masing berusia 27 tahun (pemilik mercun) dan 24 tahun (pembakar mercun).
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12 tengah malam tadi berlakunya kejadian letupan bunga api di lokasi kejadian.
“Pegawai kami menerima maklumat melalui aplikasi WhatsApp dalam bentuk video yang berdurasi 43 saat berkaitan letupan mercun dan bunga api di tempat kejadian.
“Siasatan mendapati, letupan berpunca daripada pembakaran mercun jenis happy bom firework yang mana ketika letupan berlaku, mercun terbabit dipercayai tersasar ke arah lambakan mercun lain.
“Kejadian itu menyebabkan cemas dengan letupan dan dentuman mercun serta bunga api dalam kuantiti yang banyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani turut dikejarkan ke lokasi kejadian namun mengesahkan tiada kebakaran berlaku dan tiada sebarang kecederaan dialami orang awam di sekitar lokasi terbabit.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan sejurus selepas itu untuk membantu siasatan.
“Suspek (pemilik mercun) bekerja sebagai peniaga dan menetap di daerah ini manakala pembakar mercun menetap di Kuala Ketil, di sini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
HarianMetro-