KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Bagaimanapun, Badrul Hisham, 45, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di mana beliau mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan didakwa dilakukan di Istana Negara, jam 6 petang pada 22 Januari lalu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Chegu Bard juga berdepan tuduhan membuat penerbitan menghasut di Taman Bukit Cheras, di sini, jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu.
Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir, mencadangkan jaminan RM20,000 kepada Chegu Bard bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin.
“Selain itu, pendakwaan memohon perintah larangan supaya pihaknya dan tertuduh tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana platform media sosial hingga kes selesai.
“Alasan pihak pendakwaan adalah sifat kesalahan terbabit dilakukan secara dalam talian dan bukan kesalahan biasa. Maka, perintah larangan perlu bagi memastikan perjalanan kes tidak dikacau ganggu,” katanya.
Peguam bela tertuduh, Muhammad Rafique Rashid Ali, menyifatkan cadangan jaminan itu sebagai terlalu tinggi selepas mengambil kira jumlah denda dikenakan jika disabit kesalahan atas pertuduhan berkenaan.
“Anak guam sudah berkahwin dan ada empat anak termasuk tiga yang masih bersekolah dan yang bongsu ada kad orang kelainan upaya (OKU).
“Perintah yang dimohon pula tidak khusus dan kes ini berkepentingan awam. Dengan rendah diri bahawa perintah itu adalah tidak berperlembagaan dan rakyat Malaysia ada kebebasan untuk membincang sesuatu perkara secara terbuka mengikut undang-undang,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, namun menolak cadangan perintah larangan dimohon pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Mei ini.
Semalam, Muhammad Rafique dilaporkan mengesahkan anak guamnya itu akan berdepan pertuduhan berhubung kenyataan mengaitkan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Kee Kan memohon maaf kepada baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
BHonline-