PUTRAJAYA : Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati dua anggota polis dengan pemenjaraan 40 tahun atas kesalahan membunuh seorang mekanik warga Indonesia yang ditembak tiga kali dalam keadaan bergari.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara memutuskan keputusan berkenaan.
Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan Koperal Ailias Yahaya, 70, yang berkerusi roda dan rakannya, Lans Koperal Saiful Azlan Shah Abdullah, 60, menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu 22 Januari 2006.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi, membantah permohonan kedua-dua lelaki itu yang mahu menggantikan hukuman mati kepada penjara.
Katanya, kes itu amat jarang berlaku dan mangsa pada setiap masa dari waktu tangkapan sehingga kematiannya berada dalam kawalan penuh pemohon.
“Kedua-dua pemohon menahan mangsa di Balai Polis Sungai Pelong di Kuala Selangor. Ailias menyatakan kepada dua saksi pendakwaan bahawa mereka boleh memukul dan melepaskan geram kepada mangsa yang ketika itu ditahan di bilik mesyuarat balai itu.
“Pemohon bersama saksi pendakwaan membawa mangsa ke Ladang Caledonia dengan sebuah kereta dalam keadaan bergari.
“Setelah tiba, Saiful Azlan mengarahkan mangsa keluar dari kereta dan diarahkan melutut sebelum ditembak tiga kali di belakang kepala,” katanya.
Sementara itu, peguam bela anggota polis terbabit, Muhammad Fadhli Sutris, memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kesihatan anak guam selepas menjalani hukuman penjara selama 18 tahun.
“Ailias berkerusi roda ada penyakit kronik, manakala Saiful Azlan pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak dua kali.
“Saya percaya kedua-dua pemohon amat menyesal dan mohon diberikan ihsan oleh mahkamah untuk keluar bertemu keluarga.
“Ailias mula berkhidmat dengan polis pada 1976, manakala Saiful Azlan pada 1982 di mana kedua-dua mereka pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang,” katanya.
Pada 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap Ailias dan Saiful Azlan selepas didapati bersalah membunuh Yusrizal Yusuf, 38, di Ladang Caledonia, Kilometer 22 Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor, Batu Arang antara jam 10 dan 11.30 malam, 13 Januari 2006.
-Berita Harian