SIK : Keluarga Allahyarham Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, mangsa nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak berharap siasatan dilakukan secara telus bagi merungkai punca sebenar kejadian meragut 10 nyawa itu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Kakak sulung mangsa, Noryani Tamadun, 50, bagaimanapun berkata anggota keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung insiden terbabit.
“Saya serah kepada yang pakar… mereka lebih arif, saya tidak mahu kata apa lagi.
“Benda sudah berlaku, sudah sampai ajalnya, kami semua reda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung, di sini, malam tadi.
Muhammad Faisol atau lebih mesra dengan panggilan Chon yang juga anak bongsu daripada empat beradik meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan berusia enam dan 10 tahun.
Seorang lagi kakak Allahyarham, Maizatul Akmal, 41, menyifatkan kehilangan adiknya itu sesuatu yang berat untuk keluarga mengambil kira ibu bapa mereka juga baru meninggal tahun lalu.
Katanya, sebelum kejadian arwah ada menghubungi melalui telefon memaklumkan mengenai penerbangannya itu.
“Arwah telefon saya dan kata “kak, adik nak terbang dah”…. saya jawab hati-hati, kak tunggu adik.
“Saya ada WhatsApp dia juga pada jam 9.13 pagi dan dia buat emoji gelak kepada saya. Selepas jam 10 saya terima WhatsApp senarai nama mereka yang terkorban tapi saya terlepas pandang nama adik saya dan berasa lega seketika.
“Selepas itu, kawan saya minta saya lihat semula senarai nama itu… saja jadi hilang punca selepas namanya ada,” katanya.
Maizatul akmal berkata, kejadian itu mengingatkannya kepada kata-kata arwah kepadanya pada hari raya pertama yang lalu.
“Saya teringat dia (Muhammad Faisol) kata saya akan jadi (anak) bongsu selepas ini ketika bersalaman pada hari raya pertama… masa itu tak rasa apa-apa sebab arwah memang suka bergurau.
“Namun selepas kejadian baru saya sedar inilah jawapan kepada apa yang arwah sebut tempoh hari,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Muhtadin di Sik Dalam, di sini malam tadi.
Maizatul yang bertugas sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di Pahang bagaimanapun mengakui reda serta bangga dengan arwah adiknya itu.
-Berita Harian