KANGAR : Kerajaan Perlis bersetuju memberi bonus Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri itu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pemberian bonus itu dijangka akan memanfaatkan seramai lebih 1,200 kakitangan kerajaan.
“Penganugerahan bonus ini membabitkan kakitangan kerajaan negeri Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan kontrak dan dijangka diberi sebelum Aidilfitri minggu depan.
“Dalam masa sama, pesara yang berkhidmat untuk negeri sebelum ini turut menerima bonus sebanyak RM250,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM650,000 untuk sumbangan bonus Aidilfitri pada tahun ini.
“Kita berharap kakitangan kerajaan negeri yang mendapat anugerah ini dapat berbelanja secara berhemah untuk pastikan kemeriahan Aidilfitri dapat dinikmati oleh semua pihak,” katanya.
Katanya, pemberian bonus Aidilfitri itu kali pertama dibuat selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir Perlis pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
-Berita Harian