KUALA LUMPUR – BMI, sebuah firma penyelidikan di bawah Fitch Solutions menjangkakan perbelanjaan isi rumah Malaysia akan naik 5.0 peratus dari tahun ke tahun sepanjang 2024 kepada RM903.8 bilion apabila pertumbuhan ekonomi berterusan dan tahap penggunaan menjadi normal.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
BMI melalui satu nota penyelidikan berkata, ia mempunyai pandangan yang berhati-hati tetapi positif bagi perbelanjaan pengguna di Malaysia sepanjang 2024 memandangkan pemulihan ekonomi akan diterjemahkan kepada pertumbuhan perbelanjaan pengguna sebenar yang kukuh sepanjang tahun penuh.
“Perbelanjaan isi rumah sepanjang 2024 akan menandakan pemulihan ke tahap pertumbuhan pra-Covid (perbelanjaan isi rumah meningkat pada kadar purata sebenar 5.2 peratus dari tahun ke tahun dalam tempoh 2015-2019). Perbelanjaan akan dikekang oleh persekitaran paras hutang yang tinggi dan kos perkhidmatannya.
“Bagaimanapun, pengurangan inflasi serta pasaran buruh yang ketat akan menyokong perbelanjaan, kerana pertumbuhan gaji sebenar mula kembali ke wilayah positif, seterusnya, menyokong kuasa beli sepanjang tahun,” katanya.
Unjurannya untuk pertumbuhan dari tahun ke tahun dalam perbelanjaan pengguna di Malaysia sepanjang 2024 adalah sejajar dengan ramalan pasukan Risiko Negara firma itu yang mendapati bahawa ekonomi akan berkembang pada kadar sebenar 4.4 peratus dari tahun ke tahun sepanjang tahun.
Malaysia akan tetap mencatatkan pertumbuhan yang mantap berbanding pasaran lain selepas didorong oleh pemulihan dalam sektor pelancongan, terutamanya selepas China dibuka semula untuk perjalanan.
Sementara itu, BMI berkata, keyakinan pengguna sebahagian besarnya telah merosot, mencerminkan pemikiran pengguna yang semakin lemah susulan tekanan inflasi dalam komoditi tertentu seperti makanan, bahan api termasuk kesan ke atas isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
“Bagaimanapun, data keyakinan pengguna pada suku keempat 2023 yang berpurata 89.4 telah menokok daripada 78.9 pada suku ketiga 2023,” katanya.
BMI ketika mengulas mengenai ringgit menjangkakan ia akan kekal stabil berbanding dolar US pada paras 4.60 daripada 2023 hingga 2024.
“Malaysia amat bergantung kepada import untuk memenuhi permintaan tempatan dan kestabilan kadar pertukaran bermakna walaupun ia tidak akan mendapat manfaat daripada import yang lebih murah, pertumbuhan perbelanjaan pengguna tidak akan dihalang oleh kadar pertukaran yang semakin rendah.
“Kami percaya bahawa latar belakang ini akan menyebabkan perbelanjaan pengguna sepanjang 2024 kekal stabil,” katanya.
Inflasi di Malaysia masih terkawal, memuncak pada 4.7 peratus dari tahun ke tahun menjelang Ogos 2022 dan data terkini bagi Februari 2024 menunjukkan inflasi berada pada 1.8 peratus dari tahun ke tahun.
“‘Pasukan Risiko Negara kami menjangkakan inflasi akan kekal pada tahap ini, dengan purata 2.0 peratus berbanding 2024. Risikonya ialah apabila inflasi melonjak dan kekal tinggi pada tahap tersebut lebih lama daripada yang dijangkakan, ini akan mempercepatkan penghakisan kuasa beli isi rumah,” katanya lagi.
-Sinar Harian