TOKYO: Kereta api laju Jepun, Shinkansen menghadapi masalah kelewatan 17 minit berikutan kehadiran seekor ular berukuran 40.64 sentimeter di dalam pengangkutan awam itu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Walaupun membabitkan tempoh kelewatan yang singkat semalam, perkara itu tidak pernah berlaku sepanjang pengoperasian kereta api yang dibanggakan di negara berkenaan.
Kejadian itu disedari seorang penumpang yang memaklumkan kepada pengawal keselamatan mengenai kehadiran binatang berbisa itu.
Jurucakap Central Japan Railway Company berkata pihaknya tidak jelas bagaimana haiwan berkenaan boleh berada di dalam kereta api itu tetapi bersyukur tiada kecederaan dan panik dalam kalangan penumpang dilaporkan.
Pelanggan Shinkansen boleh membawa anjing kecil, kucing dan haiwan lain, termasuk merpati ke dalam kereta api tetapi bukan ular.
“Sukar untuk membayangkan ular liar memanjat kereta api di salah satu stesen. Kami mempunyai peraturan untuk tidak membawa ular ke dalam Shinkansen.
“Bagaimanapun kami tidak melakukan pemeriksaan terhadap bagasi penumpang,” kata jurucakap itu kepada AFP.
Kereta api itu pada asalnya dijadualkan ke Osaka, tetapi syarikat itu memutuskan untuk menggunakan kereta api berbeza bagi perjalanan itu, menyebabkan kelewatan kira-kira 17 minit, katanya.
Rondaan oleh pengawal keselamatan dalam kereta api itu dipertingkatkan selepas kejadian tikaman maut pada 2018 yang mengejutkan Jepun yang biasanya dikenali sebagai negara yang selamat.
Keselamatan tambahan turut ditambah sempena Sukan Olimpik Musim Panas pada 2021 dan mesyuarat Kumpulan Tujuh tahun lalu.
Pertama kali dilancarkan pada 1964, rangkaian Shinkansen tidak pernah mengalami kemalangan yang mengakibatkan mana-mana penumpang maut atau cedera, menurut Japan Railways.
Kereta api itu boleh bergerak pada kelajuan 285 kilometer sejam, dengan purata kelewatan 0.2 minit.
BHonline-