Universiti Malaya memohon maaf atas insiden yang melibatkan seorang ahli akademik yang berpangkalan di AS, Bruce Gilley yang membuat kenyataan pro-Zionis semasa berucap di kampusnya pada 23 April lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
“UM berasa kesal dengan kenyataan kontroversi (oleh Gilley) serta tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial.
“Laporan lengkap berhubung isu ini sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu ini.
“UM turut memandang serius perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak,” kata universiti itu dalam satu kenyataan.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Zambry mengarahkan UM membuat siasatan dan melaporkan segera butiran lanjut berhubung kehadiran profesor sains politik dari Portland State University’s, Bruce Gilley, yang mendakwa ahli politik Malaysia menyokong Holocaust kedua terhadap Yahudi.
Ia sekali gus menimbulkan kecaman pelbagai pihak dan meminta UM memberikan penjelasan lanjut.
Sementara itu, UM berkata demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, pihaknya juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat.
Ini terutamanya tentang semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial.
“Pihak UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia. Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.
“UM akan terus mendukung pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah,” jelas kenyataan itu lagi.
-Malaysia Kini