Putrajaya : Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyalurkan Bantuan Insentif Khas RM500 kepada asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai persediaan menyambut Aidiladha.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata MAIWP memperuntukkan lebih RM16 juta daripada wang kutipan zakat untuk diagihkan kepada 32,300 asnaf yang terdiri daripada kategori asnaf fakir, miskin, mualaf dan ar-riqab.
Beliau berkata Bantuan Insentif Khas itu akan dikreditkan ke dalam akaun penerima selewat-lewatnya pada 14 Jun ini.
“Semoga wang zakat yang dibayar oleh para pembayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui MAIWP sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk menyantuni keperluan serta kebajikan asnaf di Wilayah Persekutuan dengan sebaik-baiknya.
-Harian Metro