Shah Alam : Tonggak Harimau Malaya Faisal Halim disimbah asid sulfurik pekat hingga menyebabkan beberapa anggota badan termasuk mukanya melecur tahap empat.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon ketika melawat Faisal di hospital swasta, di bandar ini, sebentar tadi.
Beliau yang meluangkan masa melawat pemain Selangor FC itu juga berkata, Faisal berada dalam keadaan sedar namun kecederaan di badannya agak kritikal.
Katanya, pakar perubatan akan menggunakan sejenis ubat khas dari Australia kepada Faisal untuk membantu memulihkan kecederaan melecur itu.
“Keadaan kecederaannya agak teruk dan serius. Dia dalam keadaan sedar tapi badan dia memang sangat teruk.
“Asid yang disimbah kepada Faisal adalah asid sulfurik pekat,” katanya, sambil meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan pemain itu.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan insiden membabitkan pemain kebangsaan itu yang cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.
Kejadian itu, menyebabkan Faisal cedera di beberapa bahagian badan termasuk mukanya dan kini dirawat di sebuah hospital di Shah Alam.
Faisal yang juga tonggak Selangor FC dilaporkan sudah selesai menjalani pembedahan pertama di sebuah hospital di Shah Alam.
Kondisi kesihatan Faisal yang juga nadi kepada Selangor FC semakin membimbangkan apabila dikatakan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan itu.
Selain itu, Johan berkata, pemain berusia 26 tahun itu akan menjalani satu lagi pembedahan pada petang ini dalam usaha memastikan kesihatan Faisal berada dalam keadaan stabil.
-Harian Metro