Pakatan Harapan (PH) Johor menggesa kawalan terhadap balai polis selepas waktu pejabat dipertingkat dan diperkemas.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Saranan itu dibuat selepas insiden serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram, Johor, awal pagi tadi yang mengorbankan nyawa dua anggota pasukan keselamatan itu.
“Prosedur kecemasan yang utuh, pantas dan terjamin amat diperlukan untuk memastikan dan menjamin keselamatan anggota,” kata pengerusinya Aminolhuda Hassan.
Aminolhuda berkata demikian dalam kenyataan media sebentar tadi selepas melawat lokasi kejadian dan bertemu Timbalan Ketua Polis Johor M Kumar.
Dalam insiden pada jam 2.45 pagi itu, seorang pegawai polis turut cedera susulan serangan suspek bertopeng serta bersenjata pistol dan parang.
Lelaki 22 tahun itu dipercayai anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah ditembak di lokasi kejadian.
Sementara itu, Aminolhuda juga melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan mereka tabah menghadapi dugaan.
Dia juga memberi kepercayaan penuh kepada pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri untuk melakukan siasatan terperinci dan mengambil langkah-langkah susulan.
-Malaysia Kini