PUTRAJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya penubuhan Suruhanjaya Pekerja GIG disegerakan untuk membela nasib pekerja berkenaan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perdana Menteri berkata penubuhan suruhanjaya itu penting bagi memberi perhatian dan keprihatinan yang lebih kepada pekerja bagi sektor terbabit.
“Dalam kerajaan kalau dia prihatin dia kena fikir penjawat awam, …(kerajaan) ada KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
“(Namun) ada (golongan pekerja) yang tidak diwakili secara langsung dan sebab itu Suruhanjaya Pekerja GIG itu perlu dan kita minta disegerakan supaya dapat diberikan perhatian yang lebih,” katanya dalam amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Perdana Menteri ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) baru-baru ini, mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.
Ia adalah bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig, dengan tumpuan adalah memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, ketika ditemui berkata kementeriannya sedang mempercepatkan laporan bagi merealisasikan penubuhan suruhanjaya berkenaan.
Katanya, laporan interim berkaitan penubuhan suruhanjaya itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan depan.
“Kita sedang melakukan kajian dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) dan laporan interim dijangka dibentang kepada Kabinet menjelang 1 Jun ini.
“Selepas itu, dalam masa dua atau tiga bulan kita akan membentangkan laporan penuh mengenai fungsi, perundangan, keahlian, implikasi kewangan, bidang kuasa dan sebagainya,” katanya.
-Berita Harian