Cyberjaya – Kemeriahan Syawal disambut ceria dengan penganjuran Majlis Hari Raya Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) 2024: Gema Lebaran Aidilfitri di Menara HASiL Cyberjaya pada hari ini.
Selain meraikan pegawai HASiL, majlis ini turut diceriakan dengan kehadiran tetamu jemputan yang terdiri daripada pihak-pihak berkepentingan daripada agensi kerajaan dan swasta, rakan-rakan media, Rakan Strategik HASiL (RASH) dan komuniti sekitar Cyberjaya.
Majlis ini merupakan acara tahunan yang diadakan bagi memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain dan mengeratkan hubungan silaturrahim selaras dengan rukun Malaysia Madani yang mengangkat kesejahteraan sosial dan merayakan kemajmukan.
Datuk Dr. Abu Tariq bin Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL dalam ucapan beliau merakamkan penghargaan kepada para tetamu atas kesudian hadir ke majlis ini.
Beliau juga menyatakan penganjuran majlis seperti ini akan menjadi platform yang lebih terbuka bagi hubungan dua (2) hala di antara HASiLian dan tetamu jemputan.
Selain itu juga, ianya dapat meluaskan jaringan serta mengeratkan jalinan kerjasama dan seterusnya memperkasakan sinergi antara HASiL dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam memacu perkembangan ekonomi untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui programprogram pembangunan percukaian yang dirangka untuk tahun 2024.
Di kesempatan ini, HASiL sekali lagi ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya.