Johor Bahru : Siasatan awal mendapati suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram, bertindak sendirian, didorong motivasi dan kefahamannya sendiri.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesimpulan awal itu dibuat selepas polis selesai menemu bual 46 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan itu.
“Siasatan awal mendapati suspek bertindak sendirian didorong motivasi kefahamannya, malah dia dan keluarga juga tidak bercampur masyarakat.
“Oleh itu, serangan suspek adalah terpisah daripada misi besar atau kumpulan terancang… itu tidak ada.
“Insiden semalam bukan mengancam keselamatan awam begitu sekali (seperti persepsi ramai, rular, laporan segelintir media),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor, hari ini.
Semalam, media melaporkan serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini, awal pagi Jumaat, yang mengorbankan dua anggota polis serta suspek penyerang dilakukan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, suspek berusia 21 tahun ditembak mati di tempat kejadian, sememangnya merancang dan melakukan serangan untuk mendapatkan senjata api yang disimpan di balai polis berkenaan.
Susulan kejadian itu, polis menyerbu rumah suspek dan tangkapan dibuat terhadap lima ahli keluarganya yang berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun, dipercayai ahli JI.
Bapa suspek juga adalah anggota JI di Ulu Tiram dan kediaman suspek juga mempunyai beberapa maklumat berkaitan kumpulan berkenaan.
-Harian Metro