PASIR PUTEH : Harga beras sedia ada adalah yang distruktur pada 2008, masih kekal pada kadar RM2.60 sekilogram (kg).
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood, berkata perkara itu memerlukan kajian semula demi kepentingan semua pihak yang dalam industri padi dan beras negara.
“Air mineral pun sekarang sudah RM1 lebih, tapi 10kg beras masih RM26. Maknanya kita kena kaji balik, kita kena jaga kebajikan petani, kaji semula kaedah pengapungan harga beras ini. Cadangan kita adalah dengan beri subsidi bersasar kepada golongan B40,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan demikian ketika ditemui media pada majlis dialog dan perasmian penuaian tanaman padi Projek Smart Sawah Berskala Besar (SBB), KPA Gong Chengal, Gong Geduk dan Gong Pasir di Gaal, di sini hari ini.
Azman memaklumkan, pihaknya turut membentangkan syor harga lantai padi dinaikkan antara RM1,600 hingga RM1,800 ketika mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Secara prinsipnya, Perdana Menteri sudah bersetuju, namun masih memerlukan sesi libat urus umum dengan petani, pemain industri dan kementerian terbabit,” katanya.
Mengulas rungutan mengenai kesukaran mendapatkab beras putih tempatan (BPT), beliau berkata, pihaknya masih memenuhi pasaran bagi BPT yang dijual pada harga RM25 bagi 10 kilogram (kg).
Namun, katanya, kebanyakan kedai runcit tidak menjual BPT kerana margin keuntungan yang kecil, selain bahan makanan itu juga biasanya dibeli dalam kuantiti yang banyak oleh peniaga.
“Kebanyakan rakyat pergi kedai-kedai runcit, tapi kedai runcit kebanyakannya tidak terima beras tempatan kerana keuntungan mereka lebih kurang dalam 50 sen, jadi mereka tak akan ambil.
“Bagaimanapun ini bersifat sementara, kita cuba cadangkan struktur baharu dalam industri padi dan beras supaya dikaji semula di semua peringkat, termasuk harga kepada petani, harga kilang dan harga pengguna,” katanya.
Mengenai beras super spesial tempatan (SST), katanya, ia diedarkan ke pasar raya besar melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Kita edar beras ini kepada pasar raya terpilih, diedar LPP dan FAMA. Ini pendekatan yang kita buat dan setakat ini kita memenuhi pasaran,” katanya.
-Berita Harian