PUTRAJAYA : Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad masih berjalan, namun bekas Perdana Menteri dua kali itu tidak akan ditahan dalam masa terdekat.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028, di sini, hari ini.
“Tidak lagi… kita tidak berhasrat untuk menahan beliau,” katanya.
Sebelum ini, Azam dilapor mendedahkan bahawa Dr Mahathir ialah antara individu berprofil tinggi yang disiasat oleh SPRM berhubung isu pengisytiharan harta.
Berikutan itu, dua anak Dr Mahathir, Mirzan dan Tan Sri Mokhzani, juga diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Selain itu, media melaporkan Mokhzani turut disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
-Berita Harian