Ketua pegawai eksekutif Capital A Bhd, Tony Fernandes membidas Facebook kerana membiarkan video palsu mengenainya menjadi tular.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Sambil menyifatkan dirinya sebagai penyokong tegar media sosial, katanya, selain menghubungkan dunia menjadi dekat, ia juga adalah sumber maklumat.
Bagaimanapun, Fernandes menegaskan bahawa tidak cukup yang dilakukan di luar Amerika Syarikat mengenai kawalan kandungan berpatutan untuk “mengesan dan menghalang penyebaran maklumat palsu”.
“Kita jangkakan lebih daripada syarikat yang mendakwa dapat menghubungkan dunia dan membina komuniti,” katanya dalam catatan di media sosial.
Fernandes berkata media sosial telah menjadikan banyak syarikat menjadi lebih baik, termasuk AirAsia, melalui ketelusan dan menyelesaikan masalah orang ramai.
“Sebagai CEO, saya dapat berinteraksi dengan sejumlah besar orang. Saya dapat banyak idea dan maklum balas, dan terdapat banyak kandungan yang menyeronokkan di pelbagai platform.
“Tetapi mereka perlu bertanggungjawab dan berhenti membuat wang daripada kandungan berbahaya,” tambahnya.
Fernandes berkata dia menutup akaun Facebooknya bertahun-tahun lalu berikutan insiden tembakan di sebuah masjid di New Zealand yang disiarkan secara langsung, yang pada pendapatnya adalah tidak bertanggungjawab.
“Di sebalik pelbagai jaminan, saya masih melihat sejumlah besar berita palsu di luar sana, terutamanya berleluasa di Asia, khususnya Asia Tenggara,” katanya.
Pada 2019, seorang lelaki bersenjata yang menembak mati 49 mangsa di dua masjid New Zealand menyiarkan serangan itu secara langsung di Facebook selama 17 minit. Dia menggunakan aplikasi yang direka untuk peminat sukan lasak.
-Malaysia Kini