MUAR : Seorang tukang paip mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap pertuduhan merogol remaja baru dikenali sehingga hamil 12 minggu, di rumahnya dekat Parit Raja Darat, tahun lalu dan awal tahun ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Muhammad Hafiz Mohd Sabhan, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 16 tahun sehingga remaja itu hamil, pada Disember hingga Januari tahun ini.
Bagi pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh mengenali mangsa melalui seorang rakan yang kemudiannya memberikan nombor telefon remaja itu.
Selepas berkenalan, tertuduh juga dilaporkan mengugut mangsa kononnya memiliki beberapa gambarnya sebelum membawa mangsa ke rumahnya.
Mangsa ketakutan dan hanya menuruti perintah tertuduh. Tertuduh juga memaksanya melakukan perbuatan itu namun ditolak.
Disebabkan ketakutan, mangsa hanya membiarkan sahaja kelakuan tertuduh itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dengan pengakuan tidak bersalah tertuduh, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi sebutan semula kes, lantikan peguam dan juga serahan dokumen.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan kes disebut semula pada 9 Jun ini.
Pada masa sama, mahkamah juga mengarahkan tertuduh melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes ini selesai.
-Berita Harian