Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) Zaid Ibrahim hari ini meminta badan kehakiman agar berhati-hati mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) dalam perbicaraan kes berkaitan politik kerana menganggap tindakan sedemikian adalah keterlaluan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Hal ini selepas Mahkamah Tinggi di Johor Bahru dan Kuala Lumpur melarang ahli politik Bersatu Badrul Hisham Shaharin yang dikenali sebagai Chegubard dan blogger propembangkang Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan pertuduhan kes hasutan yang dihadapi mereka.
Zaid berkata badan kehakiman menjadi harapan terakhir rakyat dalam mempertahankan ‘serangan terhadap kebebasan asas’ dan ia tidak seharusnya dengan mudah memberikan perintah larangan bersuara hanya kerana pihak pendakwaan membuat permohonan.
“Kita semua tahu hubungan rapat di antara pejabat pendakwa raya dan pejabat Perdana Menteri (PMO).
“Kami tak naif. Kita ada banyak contoh untuk membuktikannya,” dakwanya tanpa memperjelaskan butiran lanjut.
“Hanya badan kehakiman sahaja yang terpisah dan bebas daripada PMO. Badan kehakiman adalah harapan terakhir pertahanan kita, seperti yang dikatakan, terhadap serangan ke atas kebebasan asas.
“Kekalkan kebebasan itu dengan mengatakan tidak kepada permohonan larangan bersuara.
“Kebebasan bersuara patut dilindungi jika kita mahu negara secara relatifnya bebas. Politik boleh menembusi cabang kerajaan yang lain jika anda tidak berwaspada dan berusaha secara sedar untuk melindungi diri,” kata Zaid pada kenyataan di X.
Bekas pemimpin Umno itu juga berkata mahkamah tidak perlu menggunakan larangan bersuara untuk menguatkuasakan peraturan subjudis.
Sebaliknya, kata Zaid badan kehakiman boleh mengekalkan integritinya dengan menggunakan kuasa menghina mahkamah apabila diperlukan.
“Itu sudah cukup sebagai pencegahan. Perintah larangan bersuara adalah keterlaluan.
“Keterlaluan bermaksud menggunakan kuasa nuklear untuk menghancurkan lawan politik anda. Biarkan politik yang biasa terus berlangsung,” katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berkaitan pertuduhan menghasut yang dihadapinya.
Papagomo dituduh di bawah Akta Hasutan 1948 atas hantaran yang didakwa berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di akaun X miliknya, bulan lepas.
Seminggu sebelum itu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru turut mengeluarkan perintah sama terhadap Chegubard.
Dia juga didakwa di bawah Akta Hasutan atas kenyataan yang didakwa berbaur hasutan berkaitan tuduhan projek kasino akan dibina di Forest City, Johor.
-Malaysia Kini