Kangar : Sebanyak 36 rumah mengalami kerosakan dalam dua kejadian ribut yang melanda Perlis hari ini, dan Jumaat lalu, menurut rekod Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), setakat jam 10 pagi ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata, berdasarkan angka yang dikemas kini pihaknya dari semasa ke semasa itu, 25 rumah rosak dalam kejadian pagi ini manakala 11 rumah terjejas pada Jumaat lalu.
“Kebanyakan rumah itu rosak pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin. Kejadian hari ini membabitkan kawasan Behor Mentaloon, Chemumar, Tambun Tulang, Batu 5, Mata Air, Sungai Padang dan Oran masing-masing dua rumah.
“Sementara Bunga Emas, Padang Besar Kurung Anai, Pauh Sanglang, Kampung Chantik, Guar Syed Alwi, Sungai Berembang, Tok Kaya dan Mengkuang Layar masing-masing sebuah rumah dan tiga rumah di Kariah Longboh.
“Kejadian Jumaat lalu membabitkan tiga rumah di Guar Syed Alwi manakala Sungai Batu Pahat, Sungai Berembang, Jelempok, Titi Beratap, Kampung Sena, Oran, Behor Mempelam dan Sungai Padang masing-masing sebuah rumah terjejas,” katanya pada kenyataan.
Mohd Nazim berkata, bagi kerosakan kecil, bantuan akan diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala bagi kerosakan besar, ia akan dirujuk JKM untuk membolehkan MAIPs menyalurkan bantuan.
“Bagi kerosakan perniagaan, pihak berkaitan dikehendaki melaporkannya kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk MPK panjangkan kepada tindakan agensi pemberi bantuan seperti MAIPs dan agensi berkaitan,” katanya.
Kejadian ribut pada Jumaat lalu berlaku jam 7 pagi manakala kejadian hari ini, terjadi jam 2 pagi.
-Harian Metro