Kota Bharu : Enam wakil rakyat daripada Bersatu mengesahkan menerima notis daripada parti itu berhubung keahlian mereka terhenti serta merta.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, memaklumkan dia dan rakan-rakan menerima notis berkenaan pagi semalam menerusi emel dan WhatsApp.
Beliau turut berlapang dada dan akur dengan keputusan parti, namun surat itu adalah pemecatan keahlian semata-mata, tidak terkait dengan pengosongan kerusi.
“Kami enam masing-masing terima notis pagi semalam. Saya sendiri terima notis dan emel jam 11 pagi.
“Menerusi surat berkenaan, alasan pemecatan kami adalah kerana tidak patuh kepada notis pertama yang diminta oleh pihak parti.
“Saya juga ada merujuk notis berkenaan kepada peguam dan notis itu hanya berkaitan pemecatan ahli serta tiada keperluan untuk mengosongkan kerusi,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Bersatu menyerahkan notis terhenti secara serta-merta kepada enam wakil rakyat yang didakwa melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.
Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilapor, berkata notis berkenaan selaras arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat, Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Mohd Azizi berkata, susulan pemecatan keahlian itu, dia dan rakan-rakan kini wakil rakyat bebas.
“Malah jika ada yang mengaitkan saya perlu mengosongkan kerusi, perlu diingat walaupun saya sebelum ini dari Bersatu, namun saya bertanding atas logo Pas dan menerima watikah juga dari Pas.
“Justeru, saya masih berpandangan kedudukan saya sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masih kekal,” katanya.
-Harian Metro