KUALA LUMPUR: Seorang bekas Inspektor polis yang melakukan hubungan seks tanpa rela dengan dua wanita Mongolia ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat tahun lalu, diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah RM820,000.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Keputusan itu dibuat Hakim, Dr Mohd Johan Lee @ John Lee Kien How, selepas membenarkan saman dikemukakan dua wanita terbabit yang bertindak selaku plaintif, terhadap Hazrul Hizham Ghazali, yang dinamakan selaku defendan.
Johan memutuskan demikian selepas mendapati kedua-dua plaintif berjaya membuktikan kes mereka atas imbangan kebarangkalian terhadap defendan.
Hakim berkata, mahkamah membuat keputusan berkenaan selepas meneliti keterangan saksi dan hujahan yang tidak dicabar atau disangkal oleh defendan.
Katanya, defendan (Hazrul Hizham) tidak diwakili peguam selepas peguamnya menarik diri dan tidak pernah hadir sepanjang perbicaraan, walaupun dimaklumkan oleh bekas peguamnya itu.
Johan berkata, bagi kes terhadap wanita yang pertama, plaintif berjaya membuktikan bahawa defendan melakukan hubungan seks tanpa kerelaannya sebanyak enam kali.
Defendan juga boleh dipertanggungjawab atas salah laku gangguan seksual, salah laku mendatangkan kecederaan dan pengurungan secara salah.
“Oleh itu, mahkamah memberikan ganti rugi RM460,000 kepada plaintif merangkumi ganti rugi am, mendatangkan kecederaan dan melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan (RM200,000).
“Bagi seorang lagi plaintif, mahkamah mendapati defendan melakukan persetubuhan tanpa kerelaan sebanyak dua kali dan mengurung secara salah.
“Oleh itu, mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi berjumlah RM360,000 merangkumi ganti rugi am termasuk mendatangkan kecederaan dan melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan (RM150,000),” katanya.
Defendan sebelum ini didakwa atas 11 pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Mongolia bagi tujuan eksploitasi seks, merogol dan mencabul mangsa sama.
Bagaimanapun, dia dibebaskan daripada semua pertuduhan di akhir kes pembelaan, pada tahun lalu.
Dalam penghakimannya, Johan berkata, pada 10 April 2020, kedua-dua plaintif ditahan pada satu sekatan jalan raya di Petaling Jaya.
Selepas diarahkan keluar kereta dan dibawa ke khemah polis di sekatan jalan raya itu, defendan membawa kedua-dua wanita terbabit ke sebuah hotel di lokasi berhampiran.
Defendan kemudian meletakkan kedua-dua wanita itu di dua buah bilik berasingan dan melakukan hubungan seks tanpa kerelaan mereka antara 10 dan 11 April 2020.
BHonline-