DUNGUN: Barisan Nasional (BN) sedang mengenal pasti calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil DUN Nenggiri pada 17 Ogos nanti.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ahli MKT UMNO yang juga Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, BN telah mengadakan perbincangan awal sebagai persiapan menghadapi PRK terbabit.
Menurutnya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub telah mengadakan pertemuan dengan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam.
“Pertemuan itu diadakan bagi membincangkan persiapan awal termasuk mengenal pasti calon yang benar -benar layak untuk mewakili BN bagi menghadapi PRK Nenggiri.
“Kita akan segera mengumumkan nama calon dan kita akan bergerak bersama kepimpinan untuk berdepan dengan PRK itu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Dungun di Dewan Dagang Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin PSMZA hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Perhubungan Umno negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat dan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Dr Din Adam.
Sementara itu, Zambry berkata, kerjasama kempen yang dilakukan BN dan Pakatan Harapan (PH) pada kempen PRK Sungai Bakap sangat membanggakan.
“Kerja kempen tidak ada sebarang masalah dari segi pengurusan dan bagaimana kerjasama kedua-dua pihak memberikan indikasi yang baik,” katanya.
Katanya, semua pengundi PRK Sungai Bakap dapat menilai parti mana yang mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Parti lawan menggunakan referendum protes dan ini bukan kali pertama di PRK Sungai Bakap malah mereka menggunakan istilah yang sama di PRK Kuala Kubu Baharu dan Kulai.
“Kalau mengikut cara retorik mereka apakah hasilnya nanti. Maka tentunya rakyat dapat memikirkan perkara yang paling mustahak ialah siapakah calon yang bertanding di Sungai Bakap itu dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya.
BHonline-