Shah Alam : Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, menetapkan 15 Julai ini, untuk mengetahui status representasi dikemuka Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, untuk menarik balik semua pertuduhan dengan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Tarikh sama ditetapkan bagi representasi syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd dan tiga pengarahnya atas tuduhan sama.
Hakim Muhamad Anas Mahadzir menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat memaklumkan representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah diperoleh dan perlu diteliti.
“Dokumen terbabit masih di peringkat pertimbangan dan kajian, maka pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk tujuan berkenaan.
“Sekiranya tidak dibantah oleh pihak pembelaan, kami mencadangkan pada 15 Julai depan,” kata Khairul Azreem selepas ditanya Muhamad Anas tempoh masa yang diperlukan.
Mendengar perkara itu, peguam, Datuk Rajpal Singh yang mewakili KK Chai atau nama sebenarnya Chai Kee Kan, 57, dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui, 53, tidak membantah perkara terbabit.
Untuk rekod, semua tertuduh mengemukakan representasi itu pada 17 Mei sementara AGC menerima dokumen terbabit pada 26 Mei lalu.
Selain Rajpal Singh, pembelaan bagi semua tertuduh diwakili peguam, Datuk David Gurupatham, Datuk RS Sodhi, Datuk Theng Book serta Lau Yi Leong.
Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding hari ini, Sodhi berkata, Chai dan isterinya serta syarikat menghantar representasi memohon pertuduhan terhadap anak guamnya ditarik balik.
“Anak guam saya tidak bersalah. Mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai stoking itu dan mereka tidak membuat tempahan stoking tertera kalimah berkenaan.
“Mereka tidak berniat untuk menghina Islam dan menyakiti perasaan umat Islam,” katanya.
Pada 26 Mac lalu, Chai dan Loh selaku pengarah Supermart & Superstore Sdn Bhd mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berniat dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah di rak pameran jualan yang dilihat seorang lelaki berusia 32 tahun.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Chai yang juga mewakili syarikatnya KK Supermart & Superstore Sdn Bhd turut didakwa atas pertuduhan sama.
Turut didakwa hari yang sama ialah syarikat pembekal yang mengedar barangan kepada KK Supermart iaitu Xin Jian Chang Sdn Bhd bersama tiga pengarahnya, atas pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Mereka ialah Xin Jian Chang dan tiga beranak iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-Harian Metro
I do believe all the ideas youve presented for your post They are really convincing and will certainly work Nonetheless the posts are too short for novices May just you please lengthen them a little from subsequent time Thanks for the post
tipobet