PUTRAJAYA : Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Peringkat Tinggi “Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza” yang akan berlangsung di Jordan Selasa ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata penyertaan Malaysia dalam persidangan ini atas jemputan Raja Jordan, Raja Abdullah II, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres.
Ia berkata penyertaan dalam persidangan itu merupakan bukti usaha tidak berbelah bahagi Malaysia bagi memastikan penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada penduduk Palestin.
Mohamad dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala dan meneroka bidang baharu kerjasama, termasuk dalam konteks respons kemanusiaan untuk Gaza semasa lawatannya ke Jordan.
Malaysia kekal komited dalam usahanya untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka berdasarkan sempadan pasca-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh PBB.
-Berita Harian