KOTA BHARU – Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yakin dirinya masih kekal sebagai wakil rakyat meskipun keahlian dalam Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tergugur.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri itu berkata, perlembangaan Bersatu melibatkan Perkara 10.4 yang dipinda baru-baru ini tidak terkait langsung dengan Perkara 49A Akta Anti Lompat Parti.
“Merujuk Perkara 10.4 dalam Perlembagaan Bersatu yang baharu mengatakan keahlian terhenti secara automatik sekiranya tidak membalas notis ataupun tidak akur pada ketetapan parti.
“Cuma Perkara 10.4 itu langsung tidak terkait dengan Perkara 49A Akta Lompat Parti. Jadi, pada saya adalah tidak adil sekiranya kenyataan awal dikeluarkan oleh mana-mana individu dalam Bersatu mengatakan saya gugur kelayakan sebagai wakil rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita Persidangan Kali Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 bagi Tahun 2024, di Kompleks Darulnaim, di sini, pada Rabu.
Mohd Azizi menegaskan, beliau tetap fokus bekerja dan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat terutama di kawasan yang diwakilinya iaitu di Parlimen Gua Musang dan DUN Nenggiri.
“Saya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lepas dan akan kekal menjalankan tanggungjawab demi rakyat terutamanya di Parlimen Gua Musang dan DUN Nenggiri yang sangat memerlukan pembangunan.
“Saya akan gunakan tulang empat kerat ini untuk terus berbakti tanpa mengambil kira emosi atau pandangan mahupun ancaman daripada sebahagian individu yang berada dalam Bersatu,” ujarnya.
Mohd Azizi menambah, beliau bagaimanapun belum menerima surat rasmi berkait keahliaannya dalam Bersatu yang tergugur.
“Setakat ini tidak ada makluman rasmi berkait perkara itu. Saya masih kekal dan setia dengan Bersatu,” katanya.
Media pada Ahad lalu melaporkan enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
-Sinar Harian