Peguam Mohamed Haniff Khatri merayu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya mendedahkan kepada umum laporan terbaru Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Rayuan tersebut susulan Pengerusi RCI Pulau Batu Puteh Md Raus Sharif menyerahkan laporan terbaru suruhanjaya itu kepada Yang di-Pertuan Agong.
“(Ini) supaya rakyat dapat melihat bahawa penubuhan RCI Batu Puteh itu sebenar-benarnya adalah tulen dan ikhlas,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Peguam itu merayu agar laporan itu didedahkan secara terbuka supaya rakyat Malaysia dapat mengetahui kebenaran di sebalik tindakan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2018 untuk menarik balik rayuan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pemberian Singapura kedaulatan ke atas Batu Puteh.
Haniff berkata ini akan membolehkan orang ramai untuk memastikan sama ada syor RCI benar-benar mengikut titah Agong berhubung terma rujukan suruhanjaya itu.
“Justeru, saya dengan penuh takzim memohon kepada Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong agar Baginda Tuanku dapat membuat titah arahan agar:
“Sesalinan Laporan RCI Batu Puteh berkenaan diserahkan kepada kesemua pihak yang terbabit, termasuk dan tidak terhad kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri pada ketika masa material penarikan balik semakan ke ICJ dilakukan, supaya mana-mana komen dan teguran berkaitan kemuktamadan Laporan RCI Batu Puteh dapat dilakukan sebelum ianya didedahkan.
“Supaya, segala komen dan teguran berkaitan kemuktamadan Laporan RCI Batu Puteh dapat ditambah sebagai addendum. Jika perlu dan dicetak sebagai Laporan RCI Batu Puteh yang muktamad.
“Laporan RCI Batu Puteh berkenaan yang muktamad kemudiannya didedahkan untuk rujukan masyarakat awam,” kata Haniff lagi.
Awal hari ini, Yang di-Pertuan Agong dipersembahkan laporan terkini RCI Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, laporan itu dipersembahkan oleh Pengerusi RCI Md Raus Sharif kepada Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini dalam sesi yang berlangsung hampir sejam.
Pada Februari, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri mengumumkan Sultan Ibrahim memperkenankan penubuhan segera suruhanjaya itu.
Pembentukan RCI telah dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Pada 12 Jun, Mahathir memberikan keterangan semasa prosiding tertutup RCI.
Pulau Batu Puteh merupakan tunggulan batu dengan keluasan sebuah padang bola sepak, yang terletak di Selat Singapura yang menghadap ke arah Laut China Selatan.
Rumah Api Horsburgh yang terdapat di situ dibina oleh pihak British pada 1851.
Dua minggu sebelum bicara
Pulau Batu Puteh terletak berhampiran dengan pulau-pulau sekitarnya seperti Batuan Tengah dan Tubir Selatan, yang menjadi subjek utama mengenai pertindihan antara Singapura dan Malaysia yang dibicarakan menerusi ICJ.
Pada 23 Mei 2008, mahkamah ICJ memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura manakala Batuan Tengah milik Malaysia. Status Tubir Selatan pula akan ditentukan kemudian.
Pada 2 Feb 2017, Malaysia memohon semakan keputusan ICJ 2008.
Bagaimanapun, pada Mei 2018, kerajaan PH yang diterajui Mahathir telah menarik balik permohonan itu hanya dua minggu sebelum perbicaraan dijadualkan pada 11 Jun 2018.
Pada 27 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said (gambar atas) berkata penubuhan RCI itu bertujuan mencari penyelesaian dan bergerak ke hadapan dengan penambahbaikan berhubung isu membabitkan kedaulatan negara, bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak.
Kata Azalina rakyat Malaysia, khususnya di Johor, berhak mendapat penjelasan tentang sebab dan faktor di sebalik keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan permohonan tafsiran di ICJ berhubung kedaulatan ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
-Malaysia Kini