Rembau : Hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) adalah bagi membolehkan ruang menyuarakan pelbagai isu di peringkat antarabangsa dapat dilakukan dengan lebih efektif berbanding secara bersendirian.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiga faktor utama menjadi asas kepada penyertaan Malaysia dalam blok berkenaan iaitu kepentingan dan faedah yang bakal diperoleh selain impak daripada penyertaan itu terutama daripada segi ruang untuk menyuarakan hasrat negara membabitkan pelbagai isu di peringkat antarabangsa.
“Kita sedang menganalisa, meneliti dan melihat keperluan untuk membuat permohonan bagi menyertai anggota blok tersebut.
“Melalui menyertai blok berkenaan, Malaysia dapat menyuarakan apa jua isu di peringkat antarabangsa kerana melaluinya suara tersebut lebih berkesan daripada bersendirian.
“Bukan kita nak bermegah-megah untuk menjadi anggota BRICS tetapi ia lebih kepada faedah kerana ada juga negara anggota yang keluar daripada blok berkenaan kerana merasakan sudah tidak bermakna lagi (berada dalam blok itu),” katanya kepada media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani dan Ibadah Korban Aidiladha Kementerian Luar di Kampung Kanchong Rantau, di sini, semalam.
Sebanyak tujuh lembu dikorbankan pada majlis berkenaan.
Mohamad mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS tidak lama lagi.
Anwar dilaporkan berkata, kerajaan telah mengambil keputusan yang sewajarnya dan akan melancarkan proses rasmi serta sedang menunggu keputusan akhir dan maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Malaysia perlu menyertai blok tertentu untuk bersuara di pentas dunia kerana dunia sekarang berada dalam pelbagai blok.
“Sebagai contoh, blok Asean, sebagai negara berkelompok serantau yang mempunyai suara yang besar dengan jumlah penduduk lebih 700 juta dan mempunyai GDP keempat terbesar di dunia.
“Jadi, gabungan Asean itu sebagai suatu suara yang kuat, pentas yang kukuh untuk Malaysia berada sebagai salah satu negara yang menyertai blok Asean. Ini impaknya,” katanya.
Mengulas mengenai lawatan Perdana Menteri China Li Qiang ke negara ini bermula semalam, Mohamad berkata, ia adalah untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Menurutnya, hubungan diplomatik kedua-dua negara dapat diperkasakan melalui lawatan pemimpin terbabit.
“Ia terutamanya membabitkan dagangan dua hala kerana negara China sebuah dagangan terbesar dan dekat dengan rantau kita, jadi banyak perkara yang boleh kita rundingkan dan pertingkatkan lagi demi kebaikan kedua-dua negara,” katanya.
-Harian Metro