NIBONG TEBAL : PKR Pulau Pinang menyenarai pendek antara tiga hingga lima nama untuk dipertimbang sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata mereka membabitkan lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 60 tahun dan nama dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim, semalam.
Katanya, nama yang disenarai pendek itu dicadangkan peringkat cabang Nibong Tebal termasuk pimpinan negeri.
“Kita menerima cadangan daripada peringkat cabang dan pimpinan negeri berhubung calon PH untuk bertanding pada PRK Sungai Bakap,” katanya
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, ditemui ketika menyertai sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, berhubung Projek Mitigasi Banjir DUN Sungai Bakap di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek.
Ditanya sama ada PH sedia memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) bertanding pada PRK Sungai Bakap, Mohamad berkata, perkara itu jelas seperti diperkatakan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi.
“Presiden UMNO nyatakan calon untuk PRK Sungai Bakap ini adalah daripada PH iaitu PKR dan ia dipersetujui Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal Rashidi Zinol berdasarkan PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu.
“Ini bermakna UMNO beri laluan kepada PH menjadi calon. Malam ini akan diadakan perjumpaan dengan semua Ketua Cawangan UMNO membabitkan 16 cawangan berhubung taklimat pilihan raya.
“Gabungan PH dan BN dari segi perpaduan dah ada ada tetapi dari segi gerak kerja selepas penamaan calon perlu diperkuatkan.
“Kita yakin dapat menawan semula Sungai Bakap dengan kejituan perpaduan antara PH dan BN di peringkat pusat, negeri dan Parlimen Nibong Tebal,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada 6 Jun ini bagi membincangkan mengenai PRK Sungai Bakap.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
-Berita Harian