KANGAR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan membekukan akaun tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) berkait penerimaan suapan berjumlah lebih RM1 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di negeri ini sejak 2022 sehingga tahun lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Sumber SPRM enggan mendedahkan jumlah atau bila langkah itu akan diambil, sebaliknya masih meneliti kemungkinan tindakan berkenaan akan dilakukan.
“Kita tidak menolak kemungkinan akan membekukan akaun suspek untuk tujuan siasatan tetapi kita masih meneliti perkara berkenaan,” katanya ringkas.
Sementara itu, tempoh reman terhadap tiga suspek berusia 25 hingga 52 tahun berkenaan yang sepatutnya tamat hari ini dilanjutkan selama tiga hari sehingga 12 Jun hadapan.
Sambungan tempoh reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Ahmad Hamdi Mustafar selepas suspek dibawa ke mahkamah sekitar jam 9.35 pagi ini.
Terdahulu suspek yang diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Zuhair Ahmad Zakuan, tiba di mahkamah diiringi anggota SPRM yang bertugas.
Rabu lalu, ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan berjumlah RM1,183,140 dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di negeri itu sejak April 2022 sehingga Jun tahun lalu.
Suspek utama yang juga pegawai kanan di JAIPs itu dipercayai bekerjasama dengan dua lagi suspek iaitu imam masjid itu dan anak kepada imam masjid itu yang juga pemilik sebuah syarikat yang bertindak sebagai perunding dalam menguruskan urusan pernikahan di Perlis.
Sumber berkata, siasatan adalah membabitkan pengurusan pendaftaran penikahan di negeri ini yang dijalankan oleh suspek terutama terhadap pasangan yang bernikah di Thailand.
“Siasatan awal SPRM mendapati bagi setiap permohonan nikah terutama untuk pasangan yang bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan pernikahannya itu semula di negara ini akan berhubung dengan syarikat yang menguruskan pernikahan ini yang dimiliki oleh suspek ketiga yang juga anak kepada imam masjid itu.
“Syarikat yang beroperasi di Kangar ini kemudian akan meminta pasangan yang mahu mendaftarkan pernikahan itu semula bayaran wang sekitar RM5,000 sebagai wang pendaftaran pernikahan itu,” katanya.
Katanya, daripada jumlah itu, RM2,000 akan dibayar kepada suspek utama yang bertugas di JAIPs itu sebagai tindakan wang denda pasangan terbabit kerana bernikah di Thailand.
“Baki daripada jumlah itu tadi pula akan dibahagi-bahagikan antara ketiga-tiga suspek dimana ia membabitkan akaun peribadi milik penjawat awam dan imam masjid serta akaun syarikat milik suspek ketiga.
“Kesemua suspek disyaki terbabit dalam urusan pendaftaran pernikahan yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan seperti pasangan tidak bermastautin mengikut tempoh seperti sepatutnya.
“Siasatan juga mendapati terdapat juga kesalahan pasangan tidak hadir dan tidak dicatatkan dalam buku daftar pernikahan selain tidak melalui Mahkamah Syariah,” katanya.
Sumber itu berkata, pihaknya percaya bahawa suspek utama mengaut keuntungan lebih RM1 juta dalam akaun peribadinya hasil urusan berkenaan yang dijalankan bermula April 2022 hingga Jun tahun lalu.
“Malah, siasatan awal kita juga percaya bahawa imam masjid itu dan anaknya turut mengaut keuntungan melebihi suspek utama.
“Siasatan bagaimanapun masih terus dijalankan untuk kes ini mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.
-Berita Harian
Thank you for the auspicious writeup It in fact was a amusement account it Look advanced to far added agreeable from you However how can we communicate