Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) masih lagi berusaha untuk mengesan ahli perniagaan Datuk Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu siasatan dalam satu kes penyelewengan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata usaha yang dilakukan termasuk langkah mendapatkan kerjasama daripada Polis Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa lain bagi mengesannya.
“..belum dapat dikesan lagi, dan dia tidak menghubungi kita untuk menyerah diri. Tindakan selanjutnya ialah kita masih lagi berusaha dengan kerjasama Interpol serta pihak berkuasa lain,” katanya kepada media ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ di Putrajaya, hari ini.
Selain Muhammad Adlan SPRM juga sedang berusaha mengesan seorang peguam Mansoor Saat, bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Media sebelum ini melaporkan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.
Sementara itu Azam menolak dakwaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengatakan bahawa pendakwaan terhadap anak lelakinya dalam satu kes rasuah adalah sebagai siri perancangan pembunuhan karakter politik yang sebenarnya ditujukan kepada beliau sebagai ketua pembangkang.
Beliau berkata SPRM bukan alat kerajaan untuk membuat pendakwaan terpilih dan agensi penguatkuasa itu bertindak secara profesional tanpa mengira latar belakang.
“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan itu kerana tindakan kami adalah yang profesional, tidak mengira siapa sama ada pihak pegawai kerajaan, ahli politik ‘government of the day’ dan sebagainya. Apabila ada laporan dan kesalahan, kita akan tuduh di mahkamah, itu saja kerja saya, saya tidak ada pendakwaan terpilih di sini,” katanya.
Pada 5 Jun lepas, anak lelaki Hamzah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000.
-Bernama