Padang Terap : Seorang lelaki sanggup melakukan 21 kes jenayah termasuk pecah rumah dan curi sejak setahun lalu hanya semata-mata memenuhi permintaan isterinya untuk bercuti dan membayar hutang mingguan RM350.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, suspek, 32, bagaimanapun ditahan polis di rumah di Felda Lubuk Merbau, 12.30 tengah malam 31 Mei lalu.
Beliau berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap yang diketuai Inspektor Yusof Adnan berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan.
“Hasil siasatan mendapati, suspek yang berasal dari Sik yang juga bekas jurukimpal itu dipercayai bergerak solo dan terbabit melakukan 21 kes jenayah termasuk pecah rumah dan kedai di sekitar kawasan Felda Lubuk Merbau.
“Suspek juga dipercayai melakukan pecah kenderaan dan kebanyakannya kenderaan yang diparkir jauh terutama di kawasan rumah kenduri di sekitar Felda Lubuk Merbau.
“Dia dipercayai melakukan pecah kenderaan apabila ada kenduri dan tetamu datang meninggalkan kereta jauh dari rumah kenduri apabila datang balik cermin kereta pecah dan barang-barang peribadi seperti telefon bimbit beg duit dan sebagainya dan suspek mengaku terbabit dengan 21 kes,” katanya pada sidang media di IPD Padang Terap, di sini, hari ini.
Mulkiaman berkata, tangkapan suspek juga berdasarkan laporan daripada pengadu selepas menyedari rumahnya di Jalan Fajar, Lubuk Merbau dipecah masuk pada 3 Mei lalu dan mendapati tingkap gril rumah berkenaan dikopek dan dua kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dengan suis utama elektrik dimatikan.
Beliau berkata, mangsa menyedari kehilangan tong gas, tablet dan wang tunai RM500 miliknya hilang.
“Susulan tangkapan itu juga, polis menemui semula barangan kes seperti 43 tong gas, sebuah televisyen, empat bilah pisau, kipas angin, sebuah periuk kukus, empat helai tudung dan sebuah telefon bimbit di rumah suspek yang dipercayai barangan curi.
“Turut dirampas, peralatan yang digunakan ketika melakukan kegiatan pecah rumah itu temasuklah sehelai kemeja T, satu unit topi celoreng, sebuah gunting pemotong besi, sebuah kereta Proton Persona milik suspek dan sebuah lori satu tan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mulkiaman berkata, dalam pada itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 40-an dipercayai pembeli tong gas hasil curi yang dilakukan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, lelaki terbabit dipercayai melakukan urusniaga jual beli tong gas terbabit kepada suspek berkenaan di tepi jalan.
“Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Suspek utama kes ini direman selama dua minggu sehingga 14 Jun untuk membantu siasatan,” katanya.
-Harian Metro