Putrajaya : Seramai 117 individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menumpaskan dua sindiket pelacuran warga asing dalam operasi khas pada Rabu dan Khamis lalu di tujuh Negeri Sembilan dan Selangor.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula jam 12.32 tengah hari itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta JIM Perak.
Menurutnya, operasi itu diadakan berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu berjaya menahan 10 lelaki warga tempatan disyaki sebagai penjaga premis berusia dalam lingkungan 27 hingga 63 tahun.
Katanya, turut ditahan 48 wanita warga Vietnam, 34 wanita Indonesia, tiga wanita Bangladesh ,18 lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki Vietnam serta seorang lelaki warga Nepal berusia dalam lingkungan 15 hingga 53 tahun.
“Hasil semakan mendapati sembilan wanita warga Vietnam, tujuh wanita warga Indonesia, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal yang ditahan memiliki pas yang masih sah laku sementara 14 wanita warga Vietnam, lima wanita warga Indonesia dan tiga lelaki warga Bangladesh telah tinggal melebihi masa,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Ruslin berkata, bagi warga asing lain yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan wanita warga asing itu bersembunyi di bilik rahsia dan terdapat pelanggan warga asing serta warga tempatan cuba melakukan provokasi namun pasukan operasi berjaya menjumpai tempat persembunyian dan mengawal keadaan.
Katanya, dalam operasi turut merampas masing-masing satu unit telefon bimbit, tablet, pasport Nepal dan 23 naskhah pasport Vietnam, 12 pasport Indonesia, lima pasport Bangladesh serta wang tunai RM7,055.
“Modus operandi dua sindiket adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan wanita pelayan warga asing kepada pelanggan warga tempatan dan asing,” katanya.
Ruslin menambah, pelanggan akan hadir ke premis dan memilih wanita warga asing berdasarkan katalog dan kalungan kain yang diberikan manakala bayaran secara tunai atau dalam talian dibuat kepada penjaga premis sebelum wanita itu diserahkan kepada pelanggan dengan bayaran RM400 hingga RM900 bagi setiap satu jam.
Menurutnya, kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng dan Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
Katanya, manakala 10 lelaki warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan dua lelaki warga Bangladesh diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan,” katanya.
-Harian Metro