Kuala Kangsar : Sekurang-kurangnya tiga agensi atau syarikat dilihat berpotensi membeli Semarak20, iaitu projek komersil pembangunan bercampur di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sebagai Menteri di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga akan mengambil tanggungjawab membetulkan kepincangan akaun dan pelaburan Felcra seperti pendedahan serta syor dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Saya mengambil tanggungjawab untuk membetulkan akaun dan pelaburan yang ada pada Felcra sekarang ini sebagai menteri yang bertanggungjawab ketika ini, walaupun laporan (pendedahan) itu dibuat oleh menteri-menteri sebelum-sebelum itu.
“Saya sudah mendapat sekurang-kurangnya tiga agensi atau syarikat yang berpotensi untuk membeli bangunan yang siap itu, namun tidak diduduki di Jalan Semarak itu. Oleh kerana kos pembinaannya agak mahal, tentunya kita mahu menjualnya mengikut permintaan dan harga pasaran supaya penjualan itu akan dapat membayar hutang-hutang yang dibuat oleh Felcra kepada kerajaan.
“Saya mengambil langkah proaktif untuk membetulkan keadaan, walaupun saya bukan menteri yang bertanggungjawab untuk melakukan kebejatan sepertinya,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin dilapor mengarahkan KKDW serta Felcra melaporkan kepada PAC setiap tiga bulan berhubung status pembayaran hutang bagi projek Semarak20 yang mana ia antara lima syor dikemukakan kepada kerajaan untuk memantau isu hutang ditanggung Felcra Berhad serta anak-anak syarikatnya.
Dilapor, kerajaan sudah memberikan pinjaman RM544 juta kepada Felcra untuk pembangunan projek komersial Semarak20.
Bagaimanapun, turut dilapor bahawa isu hutang pinjaman ditanggung Felcra Berhad serta anak-anak syarikatnya kini berjumlah keseluruhan RM1.532 bilion selepas distruktur dan dijadualkan semula selama 35 tahun dengan kelulusan jemaah menteri pada 11 Ogos 2021.
Ahmad Zahid ketika ditanya sama ada terdapat sebarang jawatankuasa dibentuk bagi memperhalusi lima syor yang dikemukakan PAC itu berkata, jawatankuasa sedemikian sudah lama dibentuk baik di peringkat KKDW malah peringkat dalaman Felcra sendiri.
“Kita di kementerian sudah bentuk lama (jawatankuasa) malah Felcra sendiri secara dalaman juga sudah lama membentuknya disebabkan ini masalah pengurusan terdahulu.
“Saya juga sudah melakukan beberapa kali penelitian dan perbincangan bersama-sama dengan CEO (ketua pegawai eksekutif) dan anak-anak syarikat di bawah Felcra,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai kerugian terkumpul dialami MARA Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc.) sebanyak RM286.30 juta sejak 2012 hingga 2022 sepertimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), Ahmad Zahid berkata, beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab akan mencari jalan untuk melakukan pembersihan jika benar adanya penyelewengan.
“Saya berterima kasih kerana Ketua Audit Negara dan PAC memaklumkan perkara ini, dan saya sebagai menteri yang menjalankan tugas sekarang ini harus menyelesaikan masalah-masalah itu serta mencari jalan untuk melakukan pembersihan terhadap penyelewengan yang ada ketika itu, jika ada,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, individu yang terbabit dalam kerugian MARA Inc bernilai RM286.3 juta, sudah dihadapkan dan didakwa di mahkamah membabitkan bekas Pengerusi MARA Inc. Datuk Mohammad Lan Allani atas tuduhan rasuah berjumlah RM20.45 juta dan pengubahan wang haram.
-Harian Metro