SEREMBAN: Keputusan berkaitan kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan ditentukan Dewan Tertinggi BN, kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa perkara itu dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN akan datang.
“Itu merupakan SOP (prosedur operasi standard) kita, apa juga yang dibuat dan diputuskan di peringkat Dewan Tertinggi BN, adalah keputusan yang konsensus, keputusan bersama.
“Selagi belum ada mesyuarat daripada jawatankuasa tertinggi BN, banyak andaian orang dibuat, namun akhirnya bila mana Dewan Tertinggi BN membuat keputusan, itulah yang akan dijadikan dasar,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau, di Hotel Royal Chulan, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid baru-baru ini bahawa BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16.
Terdahulu, MCA yang juga anggota komponen BN mengingatkan Presiden UMNO itu supaya tidak membuat keputusan bersendirian mengenai rakan kerjasama gabungan itu pada PRU16.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan mendakwa banyak keputusan yang dibuat Ahmad Zahid sebelum ini bersifat ‘unilateral’ atau sebelah pihak, termasuk kenyataannya yang mahu kerjasama BN-PH diteruskan pada PRU16.
Mengenai perlunya ahli gabungan BN membincangkan perkara itu bagi mengelak pelbagai spekulasi, Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, mereka boleh membincangkan perkara berkenaan.
“Kalau ada parti hendak membincangkan dalam mesyuarat, tiada isu. (Jika) MCA atau MIC rasa kurang selesa dengan kenyataan tersebut, bawa dalam mesyuarat.
“Kita boleh dapatkan keputusan awal sama adanya atau tidak, daripada kita terus berspekulasi, lebih baik kita buat keputusan. Yang pentingnya ahli tidak terkeliru,” katanya.
BHonline-