SUNGAI BULOH : Polis mengesahkan wanita ditemukan mati dipercayai dibunuh di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, Selasa lalu, adalah Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata ia hasil keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh pihaknya hari ini.
“DNA positif, mayat adalah Nur Farah Kartini. Mayat akan diserahkan kepada keluarga hari ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Beberapa individu terdiri daripada ahli keluarga Allahyarham Nur Farah kelihatan di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini, 11.12 pagi tadi.
Turut kelihatan van jenazah daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipercayai akan membawa jenazah arwah untuk dikebumikan.
Solat jenazah di Tanjung Karang
Sementara itu, abang arwah, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, berkata jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung Selangor.
“Jenazah kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Bentan, Pekan.
“Butiran berkaitan akan saya sampaikan nanti,” katanya.
Semalam media melaporkan jenazah bekas penuntut Universiti Sultan Idris (UPSI) itu tidak boleh dituntut waris kerana perlu menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil daripada ahli keluarganya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, keputusan bedah siasat hanya akan diketahui beberapa hari lagi kerana masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia.
Katanya, punca kematian masih belum dapat disahkan disebabkan keadaan mayat mangsa telah reput di bahagian dada dan muka.
Beliau dipetik berkata, hasil bedah siasat masih menunggu laporan lengkap makmal di Jabatan Kimia, yang mungkin memakan masa antara dua ke tiga hari.
Selain itu, katanya, terdapat masalah pengecaman daripada visual dan perlu mengambil DNA ibu serta adik-beradiknya sebelum mayat diserahkan kepada waris.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada Isnin lepas.
Polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1.56 pagi, 10 Julai lalu.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak dan direman tujuh hari hingga 22 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-Berita Harian